Wednesday, November 11, 2009

Bagaikan hukuman mati

Bagaikan hukuman mati
Oleh Azida Shaharuddin

HUBUNGAN Siti Fatimah dengan Narimah bertambah rapat selepas bapanya meninggal dunia dan ibunya menghidap barah payu dara.

Dua beranak kongsi pengalaman berdepan barah payu dara

ANAK mana yang tidak sayangkan ibunya. Jika ibu sanggup melakukan apa saja waima berkorban harta dan nyawa demi kebahagiaan anaknya, begitu juga dengan kasih sayang seorang anak terhadap ibu tercinta. Sakit si ibu, sakit jugalah yang dirasai anak berkenaan.

Itulah yang dirasai Siti Fatimah Noor Abdul Aziz, sebaik mengetahui ibunya, Narimah Juffery, menghidap barah payu dara. Walaupun ibunya agak tenang ketika memaklumkan khabar buruk berkenaan, Siti Fatimah pula yang menangis sepuas-puasnya mengenangkan nasib ibunya.

Akui gadis berusia 28 tahun itu, beliau bagaikan turut mahu berkongsi sama pengalaman yang dilalui ibunya. Baginya, khabar buruk itu bagaikan satu hukuman mati yang cukup menakutkan.

Siti Fatimah yang bekerja sebagai Eksekutif Teknologi Maklumat (IT) merangkap pensyarah IT di Cosmopoint Sdn Bhd cawangan Johor Bahru berkata, beliau mula mengetahui keadaan ibunya itu selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), 10 tahun lalu.

Ketika itu, Siti Fatimah menemani ibunya, Narimah mengikuti kursus mengenai barah serviks dan payu dara, yang diadakan untuk ibu tunggal. Selepas menghadiri kursus berkenaan, ibunya menyedari ada ketulan pada payu dara sebelah kirinya.

"Ketika menemani ibu ke Hospital Pakar Johor, doktor memberitahu ibu perlu membuang seluruh payu dara kirinya... Saya terus menangis, tapi ibu tidak pula. Sebaliknya beliau tenang saja," katanya ketika ditemui di kediamannya di Bandar Baru Uda, Johor Bahru, baru-baru ini

Sejak itu, beliau kerap menemani ibunya berjumpa doktor mahupun mendapatkan rawatan di klinik dan hospital. Malah, selepas pembedahan ibunya, beliau akan menjadi pemandu bagi Narimah terutama ke tempat kerja di Sekolah Agama Taman Perling, Johor Bahru selain menjaga semua makan dan minum wanita itu antaranya memasak lauk sayur bening (tidak ditumis) dan antara lain ikan rebus bakar, supaya luka pembedahan ibunya cepat sembuh.

"Keadaan berbeza berbanding dulu apabila saya lebih rapat dengan bapa, namun selepas bapa meninggal dunia dan ibu pula sakit, hubungan kami menjadi semakin rapat, dan hati semakin sayang kepadanya.

"Kami seolah-olah menjadi kawan baik, langsung tidak boleh berenggang dan ke mana saja dekat mahupun jauh, pasti berdua. Teringat ketika ibu menyertai satu kursus seharian di Kota Tinggi, saya berasa resah ibu pulang lambat sedangkan ketika itu hari tidak begitu lewat," katanya.

Menyelitkan kisahnya sendiri, Narimah, 57, berkata beliau percaya mendapat penyakit itu kerana sifatnya yang sering kesedihan terutama selepas suaminya, Abdul Aziz Abdul Rahman meninggal dunia pada 31 Mei 1998 lalu selepas hidup bersama selama 25 tahun.

“Saya terus berubah karektor menjadi murung sepanjang masa. Perasaan sedih dan hiba dibawa setiap hari sehinggakan ketika memulakan enjin kenderaan hendak ke tempat kerja saja sudah menangis hingga tiba di sekolah. Malah sekiranya berjumpa sesiapa dan mereka sebut nama arwah pun saya gagal menahan perasaan dan terus menangis," katanya mengakui keadaan itu berlarutan sehingga enam bulan, sebelum mendapat tahu dirinya menghidap barah pada Julai 1999.

Ibu tunggal itu berkata, melihat dirinya pada cermin selepas kursus terbabit, beliau menyedari ada ketumbuhan sebesar kira-kira seinci pada payu dara sebelah kiri, lalu berjumpa doktor di klinik berdekatan rumah sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Selepas membuat pemeriksaan biopsi bagi mengambil tisu ketumbuhan pada 19 Jun 1999, doktor menghubunginya dan mengesahkan Narimah menghidap barah payu dara Tahap 1, dua minggu kemudian.

"Ketika mendapat berita itu, entah kenapa saya tidak sedih, sebaliknya saya mula mengamalkan perubatan Islam, iaitu mengisar lempoyang dan kurma yang diperah dengan kain sebelum jusnya diminum setiap hari.

"Saya dapati lama kelamaan ketumbuhan itu semakin kempis dan tidak terbonjol seperti sebelum ini. Berikutan itu saya meminta doktor melakukan pemeriksaan semula, namun disebabkan jadual penuh, saya terpaksa bertukar ke Hospital Pakar Johor pada Ogos tahun sama,” katanya.

Di hospital swasta itu, doktor tidak mencadangkannya melakukan biopsi kerana menyatakan ketulan kecil saja, sebaliknya terus melakukan pembedahan membuang ketumbuhan pada kos RM1,800.

"Namun tiga hari selepas itu, Dr Ismail mengesahkan saya menghidap barah dan mencadangkan supaya membuang keseluruhan payu dara sebelah kiri dan saya bersetuju. Dengan gaji ketika itu kurang RM1,000 dan menjadi ibu tunggal, saya bersyukur kos rawatan dan pembedahan ditanggung syarikat insurans sebanyak RM10,000," katanya.

Ibu kepada dua anak dan empat cucu itu berkata, sebulan selepas pembedahan beliau perlu menjalani rawatan kemoterapi sebanyak 12 kali, namun beliau hanya melalui rawatan itu sekali saja, dan berkat zikir selama tiga jam sepanjang rawatan itu beliau langsung tidak berasa loya mahupun muntah.

Begitu pun, seminggu selepas itu, Narimah mengakui badannya bertukar lemah seperti keadaan mabuk mengandung dan kurang selera makan.

"Ketika itu seorang kawan mencadangkan saya mengambil herba yang disediakan khas untuk penyakit barah selain mengamalkan perubatan Islam berzikir 'Serah Diri' dengan purata tiga jam sehari bertujuan memberi kekuatan dalaman.

"Sejak itu, saya langsung tidak lagi mengikuti rawatan kimoterapi sehingga 2003, apabila mendapatkan pemeriksaan kesihatan kerana kenaikan pangkat, doktor mengesahkan saya bebas barah," katanya.

Menyimpulkan kemungkinan Tuhan sayang padanya, hidup beliau kembali normal selepas bebas penyakit itu dan tidak lagi menjadikan sifat sedih satu amalan.

Pengesanan awal selamatkan nyawa

Pemakanan & Kesihatan: Pengesanan awal selamatkan nyawa
Oleh Fadzlena Jafar

Wanita digesa lakukan pemeriksaan barah payu dara sendiri selain segera bertemu doktor untuk rawatan

PENGALAMAN menakutkan pesakit barah ketika melakukan rawatan kemoterapi, selain stigma masyarakat terhadap wanita yang terpaksa membuang payu daranya dikenal pasti antara punca ramai wanita enggan mendapatkan rawatan perubatan moden.

Malah, ada pesakit yang mengambil keputusan berkenaan walaupun ketika didiagnos mereka hanya berada pada tahap satu yang mana peluang untuk sembuh hampir 100 peratus.




Bagaimanapun, Pakar Bedah Payu Dara Hospital Pantai Kuala Lumpur (HPKL), Dr Azlina Firzah Abdul Aziz, berkata ada pesakit yang membuat pilihan dengan mengamalkan perubatan alternatif seperti mengambil herba tanpa menyedari amalan itu menyebabkan keadaan mereka semakin kritikal.

“Kajian mendapati, kebanyakan pesakit di Malaysia lambat mendapatkan rawatan perubatan yang betul kerana meminta nasihat daripada individu tidak terlatih atau menawarkan pilihan dengan menjanjikan kaedah seperti herba dan suplemen, kononnya dapat mengelakkan pembedahan.

“Janji diberikan pasti menarik pesakit terutama yang takut akan pembedahan dan komplikasi akibat rawatan seperti kemoterapi. Inilah yang menyebabkan ramai yang akhirnya datang kepada kita dalam keadaan yang sudah teruk sehingga peluang sembuh agak tipis,” katanya pada majlis pelancaran kempen kesedaran Wear It Pink 2009 anjuran HPKL, baru-baru ini.

Kempen itu dilancarkan oleh Menteri Pembangunan, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Turut hadir Pengerusi Pantai Holdings Berhad (Pantai Holdings), Tan Sri Mohamed Khatib Abdul Hamid; Pengarah Urusan Kumpulan Pantai Holdings, Faisal Ismail; Pengarah Eksekutif Divisyen Operasi Hospital, Pantai Holdings, Chan Boon Kheng; Ketua Pegawai Eksekutif HPKL, Tan Suet Guan; Presiden Avon Malaysia, Mansoor Wan Abdullah dan Presiden Persatuan Kebajikan Barah Payu Dara (BCWA), Ranjit Kaur.

Dianggarkan satu dalam 19 wanita di negara ini berisiko menghidap barah payu dara sekali dalam hidup mereka. Daftar Kanser Kebangsaan 2003-2005 menunjukkan pada tempoh itu sebanyak 11,952 kes baru barah payu dara dikesan, tetapi angka berkenaan dikatakan tidak memaparkan jumlah sebenar pesakit barah payu dara di negara ini memandangkan laporan kepada Daftar berkenaan tidak diwajibkan.

Ini bermakna jumlah yang betul mungkin jauh lebih tinggi terutama jika pesakit mendapatkan rawatan di hospital swasta mahupun perubatan alternatif.

Apa yang lebih membimbangkan, jika selama ini pesakit hanya membabitkan mereka yang sudah berusia khususnya di kalangan wanita menopaus, namun sejak kebelakangan ini semakin ramai gadis muda seawal usia belasan tahun turut dikesan menghidap penyakit yang dikatakan pembunuh nombor satu wanita itu.

Dr Azlina berkata, barah payu dara memberi kesan bukan saja kepada pesakit, bahkan setiap ahli keluarga dan rakan, selain menyebabkan kerugian kepada negara apabila ramai wanita terpaksa keluar daripada pasaran kerja bagi membolehkan mereka mendapatkan rawatan sewajarnya.

Beliau berkata, walaupun ketika ini ada pelbagai kempen kesedaran terhadap penyakit itu dilakukan, kempen seumpama itu perlu dipertingkatkan kerana pengesanan awal dapat memberikan rawatan lebih komprehensif.

“Kita melihat ada banyak kempen kesedaran dijalankan pelbagai pihak, baik kerajaan mahupun swasta. Percaya atau tidak, ia masih belum mencukupi kerana sehingga kini tiada kaedah tepat bagi mencegah barah payu dara dan tiada ujian darah bersesuaian bagi mengesan penyakit ini, tetapi dengan pengesanan awal khususnya di kalangan pesakit Tahap 1, peluang untuk bebas daripada penyakit itu bagi tempoh lima tahun berikutnya hampir 100 peratus.

“Malah, dengan rawatan awal diberikan, pesakit juga boleh mengelakkan mastektomi (pembedahan membuang seluruh payu dara yang mempunyai sel barah), selain mencegah rasa sakit akibat barah yang semakin serius atau membolehkan pesakit melakukan pembedahan membentuk semula payu dara jika mastektomi dijalankan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa wanita supaya melakukan pemeriksaan payu dara sendiri, selain tampil berjumpa doktor mendapatkan pemeriksaan jika mendapati keganjilan pada payu dara mereka.

Kempen Wear It Pink 2009 anjuran HPKL itu mendapat kerjasama Avon (M) Sdn Bhd, jenama kecantikan terkenal yang aktif dalam pelbagai kempen kesedaran barah payu dara, malah mempunyai program khusus dinamakan Kiss Goodbye to Breast Cancer.

Pada majlis itu, HPKL turut menyerahkan cek berjumlah RM20,000 kepada Ranjit yang disampaikan Shahrizar. Selain itu, pengasas butik Pink Jambu, Tengku Marina Ibrahim turut mengumumkan 50 peratus daripada jualan barangan di butik berkenaan sepanjang Oktober dan November ini akan disalurkan bagi kempen Wear It Pink 2009.

Lelaki juga berisiko hidap barah payu dara

BARAH payu dara bukan saja membabitkan wanita, bahkan turut memberi kesan kepada lelaki. Selain perlu memberikan sokongan kepada isteri atau ibu yang menghidap penyakit berkenaan, lelaki juga perlu sedar bahawa barah payu dara bukan ‘milik’ wanita semata-mata kerana penyakit itu turut menyerang lelaki.

Jika statistik antarabangsa menyatakan lelaki merangkumi 1 peratus daripada jumlah keseluruhan pesakit barah payu dara, di Malaysia Daftar Kanser Kebangsaan 2003-2005 menunjukkan penghidap barah payu dara di kalangan lelaki agak tinggi dengan 257 atau 2.15 peratus kes dikesan.

Pengerusi Pantai Holdings Berhad (Pantai Holdings), Tan Sri Mohamed Khatib Abdul Hamid, berkata kebanyakan lelaki beranggapan barah payu dara adalah penyakit wanita tanpa menyedari mereka juga berisiko menghidap penyakit berkenaan.

“Kita mendapati di Malaysia khususnya, lelaki enggan menghadiri ceramah umum barah payu dara kerana menganggap tiada kaitan dengan mereka. Tetapi kita perlu menolak jauh tanggapan negatif ini kerana bukan saja barah payu dara memberi kesan kepada kita jika isteri, ibu atau anak perempuan menghidapnya, bahkan lelaki juga berisiko diserang barah payu dara.

“Justeru, kita perlu meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat akan risiko penyakit ini. Sesiapa saja boleh menghidapnya, malangnya di Malaysia latar belakang perubatan menunjukkan keadaan yang membimbangkan kerana kebanyakan pesakit hanya datang mendapatkan rawatan pada tahap kritikal,” katanya.

Bagi meningkatkan kesedaran terhadap kesan barah payu dara kepada masyarakat, HPKL menubuhkan Pusat Penjagaan Payu Dara (BCC) pada Mei 2007 dengan menawarkan rundingan membabitkan barah payu dara.

Selain kempen kesedaran tahunan, BCC turut menganjurkan forum awam, ceramah kesihatan di sektor korporat dan kem kesihatan di kawasan luar bandar sepanjang tahun.

Friday, November 6, 2009

Pengesanan awal selamatkan nyawa

Berita Harian

Khamis, 05/11/2009


Pengesanan awal selamatkan nyawa
Oleh Fadzlena Jafar

Wanita digesa lakukan pemeriksaan barah payu dara sendiri selain segera bertemu doktor untuk rawatan

PENGALAMAN menakutkan pesakit barah ketika melakukan rawatan kemoterapi, selain stigma masyarakat terhadap wanita yang terpaksa membuang payu daranya dikenal pasti antara punca ramai wanita enggan mendapatkan rawatan perubatan moden.

Malah, ada pesakit yang mengambil keputusan berkenaan walaupun ketika didiagnos mereka hanya berada pada tahap satu yang mana peluang untuk sembuh hampir 100 peratus.

Bagaimanapun, Pakar Bedah Payu Dara Hospital Pantai Kuala Lumpur (HPKL), Dr. Azlina Firzah Abdul Aziz, berkata ada pesakit yang membuat pilihan dengan mengamalkan perubatan alternatif seperti mengambil herba tanpa menyedari amalan itu menyebabkan keadaan mereka semakin kritikal.

"Kajian mendapati, kebanyakan pesakit di Malaysia lambat mendapatkan rawatan perubatan yang betul kerana meminta nasihat daripada individu tidak terlatih atau menawarkan pilihan dengan menjanjikan kaedah seperti herba dan suplemen, kononnya dapat mengelakkan pembedahan.

"Janji diberikan pasti menarik pesakit terutama yang takut akan pembedahan dan komplikasi akibat rawatan seperti kemoterapi. Inilah yang menyebabkan ramai yang akhirnya datang kepada kita dalam keadaan yang sudah teruk sehingga peluang sembuh agak tipis," katanya pada majlis pelancaran kempen kesedaran 'Wear It Pink 2009' anjuran HPKL, baru-baru ini.

Kempen itu dilancarkan oleh Menteri Pembangunan, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Turut hadir Pengerusi Pantai Holdings Berhad (Pantai Holdings), Tan Sri Mohamed Khatib Abdul Hamid; Pengarah Urusan Kumpulan Pantai Holdings, Faisal Ismail; Pengarah Eksekutif Divisyen Operasi Hospital, Pantai Holdings, Chan Boon Kheng; Ketua Pegawai Eksekutif HPKL, Tan Suet Guan; Presiden Avon Malaysia, Mansoor Wan Abdullah dan Presiden Persatuan Kebajikan Barah Payu Dara (BCWA), Ranjit Kaur.

Dianggarkan satu dalam 19 wanita di negara ini berisiko menghidap barah payu dara sekali dalam hidup mereka. Daftar Kanser Kebangsaan 2003-2005 menunjukkan pada tempoh itu sebanyak 11,952 kes baru barah payu dara dikesan, tetapi angka berkenaan dikatakan tidak memaparkan jumlah sebenar pesakit barah payu dara di negara ini memandangkan laporan kepada daftar berkenaan tidak diwajibkan.

Ini bermakna jumlah yang betul mungkin jauh lebih tinggi terutama jika pesakit mendapatkan rawatan di hospital swasta mahupun perubatan alternatif.

Apa yang lebih membimbangkan, jika selama ini pesakit hanya membabitkan mereka yang sudah berusia khususnya di kalangan wanita menopaus, namun sejak kebelakangan ini semakin ramai gadis muda seawal usia belasan tahun turut dikesan menghidap penyakit yang dikatakan pembunuh nombor satu wanita itu.

Dr. Azlina berkata, barah payu dara memberi kesan bukan saja kepada pesakit, bahkan setiap ahli keluarga dan rakan, selain menyebabkan kerugian kepada negara apabila ramai wanita terpaksa keluar daripada pasaran kerja bagi membolehkan mereka mendapatkan rawatan sewajarnya.

Beliau berkata, walaupun ketika ini ada pelbagai kempen kesedaran terhadap penyakit itu dilakukan, kempen seumpama itu perlu dipertingkat kerana pengesanan awal dapat memberikan rawatan lebih komprehensif.

"Kita melihat ada banyak kempen kesedaran dijalankan pelbagai pihak, baik kerajaan mahupun swasta. Percaya atau tidak, ia masih belum mencukupi kerana sehingga kini tiada kaedah tepat bagi mencegah barah payu dara dan tiada ujian darah bersesuaian bagi mengesan penyakit ini, tetapi dengan pengesanan awal khususnya di kalangan pesakit Tahap 1, peluang untuk bebas daripada penyakit itu bagi tempoh lima tahun berikutnya hampir 100 peratus.

"Malah, dengan rawatan awal diberikan, pesakit juga boleh mengelakkan mastektomi (pembedahan membuang seluruh payu dara yang mempunyai sel barah), selain mencegah rasa sakit akibat barah yang semakin serius atau membolehkan pesakit melakukan pembedahan membentuk semula payu dara jika mastektomi dijalankan," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa wanita supaya melakukan pemeriksaan payu dara sendiri, selain tampil berjumpa doktor mendapatkan pemeriksaan jika mendapati keganjilan pada payu dara mereka.

Kempen 'Wear It Pink 2009' anjuran HPKL itu mendapat kerjasama Avon (M) Sdn. Bhd., jenama kecantikan terkenal yang aktif dalam pelbagai kempen kesedaran barah payu dara, malah mempunyai program khusus dinamakan 'Kiss Goodbye to Breast Cancer'.

Pada majlis itu, HPKL turut menyerahkan cek berjumlah RM20,000 kepada Ranjit yang disampaikan Shahrizat. Selain itu, pengasas butik Pink Jambu, Tengku Marina Ibrahim turut mengumumkan 50 peratus daripada jualan barangan di butik berkenaan sepanjang Oktober dan November ini akan disalurkan bagi kempen 'Wear It Pink 2009'.

Kempen kesedaran barah payu dara

Berita Harian
Khamis, 05/11/2009


Kempen kesedaran barah payu dara

KUALA LUMPUR: Satu acara bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai penyakit barah payu dara, 'OutRageously PINK Nite 2009', akan berlangsung di pusat belah-belah Bangsar Village pada Sabtu ini, selama empat jam mulai 6 petang.

Majlis itu meraikan mereka yang berjaya mengharungi cabaran ketika diserang penyakit itu bertemakan warna merah jambu dan semua kutipan yang diperoleh termasuk melalui kempen 'Stand Up For Pink', Oktober lalu, akan diserahkan kepada Dana Kanser Payudara, Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Menurut kenyataan orang ramai yang hadir ke majlis anjuran Bangsar Village dengan kerjasama 'Venusbuzz', 'Lariche Community', 'College of Radiology Academy of Medicine of Malaysia' dan 'Malaysian Breast Cancer Council' itu dengan berpakaian merah jambu, turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah istimewa yang disediakan.

Selain persembahan fesyen oleh pesakit yang sembuh dari penyakit berbahaya itu, pelbagai persembahan lain antaranya oleh penulis lagu, Juwita Suwito dan Elvira Arul.

Aktiviti menarik juga turut menanti kanak-kanak apabila mereka akan dihiburkan dengan aktiviti lukisan wajah, gerai ukuran belon yang ditaja Laura Mercier serta 'Lariche Community'.