Wednesday, November 11, 2009

Bagaikan hukuman mati

Bagaikan hukuman mati
Oleh Azida Shaharuddin

HUBUNGAN Siti Fatimah dengan Narimah bertambah rapat selepas bapanya meninggal dunia dan ibunya menghidap barah payu dara.

Dua beranak kongsi pengalaman berdepan barah payu dara

ANAK mana yang tidak sayangkan ibunya. Jika ibu sanggup melakukan apa saja waima berkorban harta dan nyawa demi kebahagiaan anaknya, begitu juga dengan kasih sayang seorang anak terhadap ibu tercinta. Sakit si ibu, sakit jugalah yang dirasai anak berkenaan.

Itulah yang dirasai Siti Fatimah Noor Abdul Aziz, sebaik mengetahui ibunya, Narimah Juffery, menghidap barah payu dara. Walaupun ibunya agak tenang ketika memaklumkan khabar buruk berkenaan, Siti Fatimah pula yang menangis sepuas-puasnya mengenangkan nasib ibunya.

Akui gadis berusia 28 tahun itu, beliau bagaikan turut mahu berkongsi sama pengalaman yang dilalui ibunya. Baginya, khabar buruk itu bagaikan satu hukuman mati yang cukup menakutkan.

Siti Fatimah yang bekerja sebagai Eksekutif Teknologi Maklumat (IT) merangkap pensyarah IT di Cosmopoint Sdn Bhd cawangan Johor Bahru berkata, beliau mula mengetahui keadaan ibunya itu selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), 10 tahun lalu.

Ketika itu, Siti Fatimah menemani ibunya, Narimah mengikuti kursus mengenai barah serviks dan payu dara, yang diadakan untuk ibu tunggal. Selepas menghadiri kursus berkenaan, ibunya menyedari ada ketulan pada payu dara sebelah kirinya.

"Ketika menemani ibu ke Hospital Pakar Johor, doktor memberitahu ibu perlu membuang seluruh payu dara kirinya... Saya terus menangis, tapi ibu tidak pula. Sebaliknya beliau tenang saja," katanya ketika ditemui di kediamannya di Bandar Baru Uda, Johor Bahru, baru-baru ini

Sejak itu, beliau kerap menemani ibunya berjumpa doktor mahupun mendapatkan rawatan di klinik dan hospital. Malah, selepas pembedahan ibunya, beliau akan menjadi pemandu bagi Narimah terutama ke tempat kerja di Sekolah Agama Taman Perling, Johor Bahru selain menjaga semua makan dan minum wanita itu antaranya memasak lauk sayur bening (tidak ditumis) dan antara lain ikan rebus bakar, supaya luka pembedahan ibunya cepat sembuh.

"Keadaan berbeza berbanding dulu apabila saya lebih rapat dengan bapa, namun selepas bapa meninggal dunia dan ibu pula sakit, hubungan kami menjadi semakin rapat, dan hati semakin sayang kepadanya.

"Kami seolah-olah menjadi kawan baik, langsung tidak boleh berenggang dan ke mana saja dekat mahupun jauh, pasti berdua. Teringat ketika ibu menyertai satu kursus seharian di Kota Tinggi, saya berasa resah ibu pulang lambat sedangkan ketika itu hari tidak begitu lewat," katanya.

Menyelitkan kisahnya sendiri, Narimah, 57, berkata beliau percaya mendapat penyakit itu kerana sifatnya yang sering kesedihan terutama selepas suaminya, Abdul Aziz Abdul Rahman meninggal dunia pada 31 Mei 1998 lalu selepas hidup bersama selama 25 tahun.

“Saya terus berubah karektor menjadi murung sepanjang masa. Perasaan sedih dan hiba dibawa setiap hari sehinggakan ketika memulakan enjin kenderaan hendak ke tempat kerja saja sudah menangis hingga tiba di sekolah. Malah sekiranya berjumpa sesiapa dan mereka sebut nama arwah pun saya gagal menahan perasaan dan terus menangis," katanya mengakui keadaan itu berlarutan sehingga enam bulan, sebelum mendapat tahu dirinya menghidap barah pada Julai 1999.

Ibu tunggal itu berkata, melihat dirinya pada cermin selepas kursus terbabit, beliau menyedari ada ketumbuhan sebesar kira-kira seinci pada payu dara sebelah kiri, lalu berjumpa doktor di klinik berdekatan rumah sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Selepas membuat pemeriksaan biopsi bagi mengambil tisu ketumbuhan pada 19 Jun 1999, doktor menghubunginya dan mengesahkan Narimah menghidap barah payu dara Tahap 1, dua minggu kemudian.

"Ketika mendapat berita itu, entah kenapa saya tidak sedih, sebaliknya saya mula mengamalkan perubatan Islam, iaitu mengisar lempoyang dan kurma yang diperah dengan kain sebelum jusnya diminum setiap hari.

"Saya dapati lama kelamaan ketumbuhan itu semakin kempis dan tidak terbonjol seperti sebelum ini. Berikutan itu saya meminta doktor melakukan pemeriksaan semula, namun disebabkan jadual penuh, saya terpaksa bertukar ke Hospital Pakar Johor pada Ogos tahun sama,” katanya.

Di hospital swasta itu, doktor tidak mencadangkannya melakukan biopsi kerana menyatakan ketulan kecil saja, sebaliknya terus melakukan pembedahan membuang ketumbuhan pada kos RM1,800.

"Namun tiga hari selepas itu, Dr Ismail mengesahkan saya menghidap barah dan mencadangkan supaya membuang keseluruhan payu dara sebelah kiri dan saya bersetuju. Dengan gaji ketika itu kurang RM1,000 dan menjadi ibu tunggal, saya bersyukur kos rawatan dan pembedahan ditanggung syarikat insurans sebanyak RM10,000," katanya.

Ibu kepada dua anak dan empat cucu itu berkata, sebulan selepas pembedahan beliau perlu menjalani rawatan kemoterapi sebanyak 12 kali, namun beliau hanya melalui rawatan itu sekali saja, dan berkat zikir selama tiga jam sepanjang rawatan itu beliau langsung tidak berasa loya mahupun muntah.

Begitu pun, seminggu selepas itu, Narimah mengakui badannya bertukar lemah seperti keadaan mabuk mengandung dan kurang selera makan.

"Ketika itu seorang kawan mencadangkan saya mengambil herba yang disediakan khas untuk penyakit barah selain mengamalkan perubatan Islam berzikir 'Serah Diri' dengan purata tiga jam sehari bertujuan memberi kekuatan dalaman.

"Sejak itu, saya langsung tidak lagi mengikuti rawatan kimoterapi sehingga 2003, apabila mendapatkan pemeriksaan kesihatan kerana kenaikan pangkat, doktor mengesahkan saya bebas barah," katanya.

Menyimpulkan kemungkinan Tuhan sayang padanya, hidup beliau kembali normal selepas bebas penyakit itu dan tidak lagi menjadikan sifat sedih satu amalan.

No comments:

Post a Comment