Friday, November 6, 2009

Pengesanan awal selamatkan nyawa

Berita Harian

Khamis, 05/11/2009


Pengesanan awal selamatkan nyawa
Oleh Fadzlena Jafar

Wanita digesa lakukan pemeriksaan barah payu dara sendiri selain segera bertemu doktor untuk rawatan

PENGALAMAN menakutkan pesakit barah ketika melakukan rawatan kemoterapi, selain stigma masyarakat terhadap wanita yang terpaksa membuang payu daranya dikenal pasti antara punca ramai wanita enggan mendapatkan rawatan perubatan moden.

Malah, ada pesakit yang mengambil keputusan berkenaan walaupun ketika didiagnos mereka hanya berada pada tahap satu yang mana peluang untuk sembuh hampir 100 peratus.

Bagaimanapun, Pakar Bedah Payu Dara Hospital Pantai Kuala Lumpur (HPKL), Dr. Azlina Firzah Abdul Aziz, berkata ada pesakit yang membuat pilihan dengan mengamalkan perubatan alternatif seperti mengambil herba tanpa menyedari amalan itu menyebabkan keadaan mereka semakin kritikal.

"Kajian mendapati, kebanyakan pesakit di Malaysia lambat mendapatkan rawatan perubatan yang betul kerana meminta nasihat daripada individu tidak terlatih atau menawarkan pilihan dengan menjanjikan kaedah seperti herba dan suplemen, kononnya dapat mengelakkan pembedahan.

"Janji diberikan pasti menarik pesakit terutama yang takut akan pembedahan dan komplikasi akibat rawatan seperti kemoterapi. Inilah yang menyebabkan ramai yang akhirnya datang kepada kita dalam keadaan yang sudah teruk sehingga peluang sembuh agak tipis," katanya pada majlis pelancaran kempen kesedaran 'Wear It Pink 2009' anjuran HPKL, baru-baru ini.

Kempen itu dilancarkan oleh Menteri Pembangunan, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Turut hadir Pengerusi Pantai Holdings Berhad (Pantai Holdings), Tan Sri Mohamed Khatib Abdul Hamid; Pengarah Urusan Kumpulan Pantai Holdings, Faisal Ismail; Pengarah Eksekutif Divisyen Operasi Hospital, Pantai Holdings, Chan Boon Kheng; Ketua Pegawai Eksekutif HPKL, Tan Suet Guan; Presiden Avon Malaysia, Mansoor Wan Abdullah dan Presiden Persatuan Kebajikan Barah Payu Dara (BCWA), Ranjit Kaur.

Dianggarkan satu dalam 19 wanita di negara ini berisiko menghidap barah payu dara sekali dalam hidup mereka. Daftar Kanser Kebangsaan 2003-2005 menunjukkan pada tempoh itu sebanyak 11,952 kes baru barah payu dara dikesan, tetapi angka berkenaan dikatakan tidak memaparkan jumlah sebenar pesakit barah payu dara di negara ini memandangkan laporan kepada daftar berkenaan tidak diwajibkan.

Ini bermakna jumlah yang betul mungkin jauh lebih tinggi terutama jika pesakit mendapatkan rawatan di hospital swasta mahupun perubatan alternatif.

Apa yang lebih membimbangkan, jika selama ini pesakit hanya membabitkan mereka yang sudah berusia khususnya di kalangan wanita menopaus, namun sejak kebelakangan ini semakin ramai gadis muda seawal usia belasan tahun turut dikesan menghidap penyakit yang dikatakan pembunuh nombor satu wanita itu.

Dr. Azlina berkata, barah payu dara memberi kesan bukan saja kepada pesakit, bahkan setiap ahli keluarga dan rakan, selain menyebabkan kerugian kepada negara apabila ramai wanita terpaksa keluar daripada pasaran kerja bagi membolehkan mereka mendapatkan rawatan sewajarnya.

Beliau berkata, walaupun ketika ini ada pelbagai kempen kesedaran terhadap penyakit itu dilakukan, kempen seumpama itu perlu dipertingkat kerana pengesanan awal dapat memberikan rawatan lebih komprehensif.

"Kita melihat ada banyak kempen kesedaran dijalankan pelbagai pihak, baik kerajaan mahupun swasta. Percaya atau tidak, ia masih belum mencukupi kerana sehingga kini tiada kaedah tepat bagi mencegah barah payu dara dan tiada ujian darah bersesuaian bagi mengesan penyakit ini, tetapi dengan pengesanan awal khususnya di kalangan pesakit Tahap 1, peluang untuk bebas daripada penyakit itu bagi tempoh lima tahun berikutnya hampir 100 peratus.

"Malah, dengan rawatan awal diberikan, pesakit juga boleh mengelakkan mastektomi (pembedahan membuang seluruh payu dara yang mempunyai sel barah), selain mencegah rasa sakit akibat barah yang semakin serius atau membolehkan pesakit melakukan pembedahan membentuk semula payu dara jika mastektomi dijalankan," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa wanita supaya melakukan pemeriksaan payu dara sendiri, selain tampil berjumpa doktor mendapatkan pemeriksaan jika mendapati keganjilan pada payu dara mereka.

Kempen 'Wear It Pink 2009' anjuran HPKL itu mendapat kerjasama Avon (M) Sdn. Bhd., jenama kecantikan terkenal yang aktif dalam pelbagai kempen kesedaran barah payu dara, malah mempunyai program khusus dinamakan 'Kiss Goodbye to Breast Cancer'.

Pada majlis itu, HPKL turut menyerahkan cek berjumlah RM20,000 kepada Ranjit yang disampaikan Shahrizat. Selain itu, pengasas butik Pink Jambu, Tengku Marina Ibrahim turut mengumumkan 50 peratus daripada jualan barangan di butik berkenaan sepanjang Oktober dan November ini akan disalurkan bagi kempen 'Wear It Pink 2009'.

No comments:

Post a Comment